Sunday 1 April 2012

TULISAN PERTAMA DI BLOG INI. (KEMAHIRAN GEOGRAFI)

Assalamualaikum dan selamat sejahtera...


Tulisan pertama saya ini saya tujukan khas kepada para pelajar Geografi Tingkatan 4 saya di SEMEKAP (Sekolah Menengah Kebangsaan Ampang Pecah). Walau bagaimanapun masih boleh menjadi bacaan pelajar lain yang sudi membacanya.


Pelajar yang saya sayangi semuanya. Sudah pasti khas untuk 36 orang pelajar 4 Jauhari. Saya cuba untuk berbicara tentang tajuk Geografi tingkatan 4 yang agak sukar difahami dengan hanya sekadar membaca daan diingat secara hafalan sahaja. Tajuk kemahiran ini menuntut semua pelajar melakukan tugasan yang diberi semasa pengajaran dan pembelajaran saya di dalam kelas.


Walau bagaimanaapun ruangan sebegini rupa masih boleh digunakan supaya boleh membantu sedikit sebanyak semua pelajar.


Tajuk Kedudukan, menuntut semua pelajar memahami perkara garisan grid. Anda semua perlu tahu bahawa garisan grid yang menegak dalam peta topografi dinamakan Garisan Timuran dan garisan grid melintang dinamakan Garisan Utaraan. Semua garis grid pada peta topografi diberikan nombor rujukan. Nombor ini dikenali sebagai rujukan grid. Semua nombor ini bermula dari penjuru barat daya peta topografi berkaitan. Garisan Timuran membesar arah ke timur dan Garisan utaraan makin membesar arah ke utara.


Untuk menyata atau membaca kedudukan sesuatu tempat atau lokasi , kita hanya perlu menyatakan nombor Timuran dan Utaraan yang bersilang. Walau bagaimanapun kita mesti ingat bahawa kita mesti menyatakan rujukan grid Timuran terlebih dahulu, baru diikuti oleh  nombor rujukan grid Utaraan.


Rujukan Grid 4 angka:
Rujukan grid 4 angka digunakan menyatakan kedudukan sesuatu segi empat grid. Ini biasanya melibatkan sesuatu kawasan yang luas. Caranya ialah dengan membaca nombor rujukan Timuran dan nombor rujukan Utaraan, persilangan kedua-dua garisan ini, seluruh kawasan empat persegi grid, di timur laut persilangan sebagai rujukan lokasi yang dibaca. Cara bacaan seperti 1774


Rujukan grid 6 angka:
Rujukan grid 6 angka pula dibaca dengan cara yang sama tetapi menggunakan 3 angka Timuran dan 3 angka Utaraan. Dengan menggunakan 2 angka pada rujukan 4 angka ditambah dengan angka ketiga, dengan membahagikan persegi grid berkenaan kepada 10 bahagian yang mewakili angka 0,1,2,3,4,5,6,7.8. dan 9. Begitu juga pada garisan Utaraan dibahagi kepada 10 bahagian. Maka akan ada bacaan seperti 171749 dan lain-lain lagi. Dua angka pertama telah ada pada peta topografi berkaitan, hanya nombor ketiga perlu dinyatakan dengan membahagi 10 bahagian pada petak persegi grid.


Kesimpulannya, anda semua perlu buat latihan yang terdapat dalam teks. Jika ada masalah dalam memahamkan tajuk sila jumpa saya. Jangan malu atau takut untuk ilmu.


Ringkasan daripada tajuk ini ialah:


1.  Rujukan grid ialah cara menyatakan kedudukan dengan menggunakan garisan grid, iaitu Garisan Timuran dan garisan Utaraan.
2.  Terdapat rujukan 4 angka untuk menyatakan kedudukan segi empat grid (kawasan  luas) dan rujukan grid 6 angka untuk menentukan kedudukan yang lebih kecil (objek kecil dalam peta topografi)
3.  persegi grid peta topografi berukuran 1km panjang dan 1km lebar( 1km persegi)


Selamat memahami tajuk ini dan mendapat kemahiran dengan cara melakukan latihan menggunakan rujukan grid 4 angka dan rujukan grid 6 angka.


Terima kasih daripada:
Rozali bin Mazlan
Pengetua SEMEKKAP.

No comments:

Post a Comment